DUNGUN - Seorang kanak-kanak berusia enam tahun, Nik Nurul Irdina Nik Azmin, maut akibat kecederaan parah dialami selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di kilometer 1 Jalan Dungun-Bukit Besi, Kampung Che Lijah, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 petang, kemalangan yang membabitkan kereta jenis Proton Wira Aeroback dan sebuah lori turut mengakibatkan ibu mangsa, Nurul Shuhada Mat Rani, 27, kritikal, manakala neneknya, Khatijah Musa, 60 turut tercedera.
Sewaktu kejadian, kereta dipandu Nurul Shuhada dalam perjalanan dari arah Bukit Besi dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh bahagian belakang sebuah lori.
Rempuhan itu menyebabkan wanita yang beralamat  dari kampung Pinang Baru itu tersepit dan anaknya yang berada di tempat duduk belakang cedera parah.
Ketua Balai Bomba dan penyelamat Dungun, Amri Mohamad berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.
Menurutnya, sebuah jentera bersama lapan anggota dan sebuah jentera emrs dikejarkan ke lokasi untuk membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.
"Jentera tiba di lokasi pada jam 2.08 petang dan ketika itu terdapat  dua mangsa iaitu seorang kanak-kanak dan warga emas sudah dikeluarkan oleh orang awam.
"Manakala seorang wanita dewasa tersepit di bahagian pemandu dan pihak bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa.
"Kedua-dua mangsa iaitu kanak-kanak dan warga emas dihantar ke Hospital Dungun oleh orang awan dan mangsa yang tersepit dihantar oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam(APM)," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Ahmad Zailani Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
"Kanak-kanak enam tahun yang cedera parah dihantar ke unit kecemasan Hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan lanjut tetapi disahkan meninggal dunia pada jam 4.30 petang.
"Ibu mangsa dilaporkan turut mengalami kecederaan parah dan masih dirawat serta nenek mangsa hanya cedera ringan.
"Punca sebenar kejadian masih lagi dalam siasatan dan kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.